Friday, November 22, 2013

kalau Tuhan sudah tetapkan untuk sendiri...an

8/27/11 1:50 AM
Malaysia Time
hari ini hari gaji pertama. iya, bulan kedua namun gaji pertama. sebab gaji bulan pertama dahulu tidak cukup pun untuk menampung wang pendahuluan ihsan daripada majikan. tolak bayaran untuk kemalangan melanggar kereta orang, tolak harga gelas mata yang aku tangguh-tangguh selama 3 bulan untuk aku gantikan, iya, dengan gelasmata pecah dua sebelah itu, aku pusing satu Malaysia; ke Sabah, Kelantan, Kuala Lumpur, Johor dan seluruh Kuching sekalipun aku pakai juga. Kalau semudah itu orang menyangka penampilan itu maruah, baiklah, maruah aku umpama rendah. Aku kira janji untuk bertemu dan merai teman lebih penting, bertemu dan berpisah kerana Allah. disindir dan dipersenda aku terima sahaja.

jadi gaji harus dihantar ke rumah dahulu. bayar diri sendiri dahulu. itu kata orang kaya-kaya. tapi siapa diri kita sendiri? hidup aku lama betul dalam defisit. aku tangguh lagi keputusan menjadi diri sendiri.aku faham juga dan sedar diri. bayar kepada yang bertanggungjawab menyumbang benih kelahiranku, selagi ada. teringat kembali saat-saat aku kebingungan memikirkan mungkinkah ada kesempatan untuk aku dahulu, saat-saat tersekat dalam pengajian dahulu, saat semua dana keluarga seolah-olah semuanya diuntukkan padaku, iya, termasuk duit hasil orang mati, tanpa silang tanya. jadi saat untuk membalas  semua tanpa persoalan juga. bukankah keterdesakan memang sedari awal sangat mahal harganya?

jadi hari ini juga ada janji. janji keluar dengan teman. memang salahku semudah itu cuba membatalkan. sungguh, bukan sebab bayaran. sekurang-kurangnya bukan hari ini hari aku sudah bersedia dengan sedikit kewangan. aku bikin hati orang panas bukan? aku paling jaga hati. bukanlah aku penyayang tetapi kenyataannya aku tidak bisa sakitkan hati orang lebih dari aku sakitkan hati sendiri, sebetulnya aku pentingkan diri sendiri. aku tidak mengerti apakah jurang antara jaga hati dan keikhlasan. jadi aku turun juga. selepas membayar diri sendiri, aku pergi, seorang. dan aku ini pemandu yang sangat kurang cemerlang. sudahkah kau membaca pernyataan bahawa hari-hari aku inilah orangnya yang dihon orang? dan pernah terpusing di bulatan dan kereta bertukar arah melawan arus? cuma kerana urusan dunia yang ditetapkan Tuhan untukku belum selesai, mungkin Tuhan masih memberi kesempatan.

orang kata, jangan emosi. buat selamba saja. aku sempat sampai. aku abaikan ayat-ayat rajuk yang kata tak payah datang sebab aku tidak ikhlas, yang kata tidak payah sebab mungkin sudah menyampah dan meluat dan hilang kepercayaan. aku hantar mesej, aku buat panggilan, iya, dengan kredit telefon yang bernilai rm10 masih berbaki kurang seringgit dalam tempoh 2 minggu, aku gagahkan jua, tapi tiada jawapan. waktu berbuka sudah hampir dan aku masih melilau keseorangan di tempat ramainya orang memilih untuk mula makan. pergiku ke pasaraya membeli setin air bergambar kartun. semacam hilang deria, terus kubuka tin itu dan kumasukkan penyedut, bersedia untuk berbuka. lupa untuk malu, beberapa pemuda kedengaran berbunyi ketawa mungkin memikirkan aku sudah pecah puasa, dengan gaya begitu, manakan tidak, berjalan ketara dengan tin minuman yang telah dibuka dan tersedia dengan penyedut di tangan.

aku masih cuba mencari tapi sudah bersedia untuk putus asa. mungkin benar katanya, hingga aku sendiri tidak pasti, ikhlaskah aku yang sebetulnya? air mata bergenang sudah, dan padan muka, berseorangan aku berbuka. jatuh titik-titik air mata, hampa. teringat sama bonda yang sering menyatakan kecewa anak-anaknya suka berbuka di luar demi kawan-kawan, teringat wajahnya yang ditinggalkan sengaja menyediakan santapan.

pasti semua pernah merasa, aku selalu benar. Kalau Tuhan sudah tetapkan untuk kau sendirian, walau di tengah lautan manusia, tetap kau keseorangan. Tuhan Maha Hebat, bukan? Sebaik-baik peneman. Usahalah walau apa cara sekalipun, kadang-kadang kau akan dipulaukan. Macam adakah kau fikir aku suka benar ditinggal berseorangan menghabiskan sisa-sisa pengajian dahulu? Dengan sindiran bahawa aku ini orang yang hidupnya tidak punya tumpuan, penuh permainan, sangat banyak wang dan masa untuk dihabiskan. Tahun lalu aku kerja berseorangan lalu pada awal tahun ini aku memilih untuk berteman dan meninggalkan pekerjaan itu, 6 bulan menjadi penuntut ilmu pelancongan. sesudah 6 bulan itu, lucunya aku kembali ke tempat yang sama, kembali untuk ditakdirkan kerja sendirian. Hampir merobohkan kembali tembok kegilaan dengan tabiat mengomel sendirian, tanpa peduli sama dunia, omongnya sama diri sendiri sampai kedengaran pada telinga orang-orang. berkali-kali lagi, ditertawakan tanpa pengertian. Tidak apalah. Biasa. putus asa dengan diri sendiri tidak mengapa, jangan putus asa sama rahmat Tuhan.

membawa diri aku, lalu aku menuju ke surau. di dalam kesukaran ada kesenangan. di dalam kesusahan, ada ketenangan. Aku mungkin sendiri begitu, tapi aku berteman begini, alhamdulillah, kalau Tuhan tentukan kau untuk merasa keramaian, siapa dapat menghalang? alhamdulillah, solat berjemaah, tanpa seorangpun jemaahnya aku kenal, di surau kecil itu yang seringnya kita masing-masing hanya ingin solat sendirian, mengejar waktu kononnya. seusai solat, bertemu sama sepupu dan kerabat yang kebetulan kerja berdekatan, lalu singgah aku ke kedai mereka, dan dijemput berbuka sama. sekali Tuhan hantarkan peneman, subhanallah. air mataku jatuh lagi, kali ini kerana kegembiraan. Tuhan sangat comel.

balik ke rumah, mendapat mesej, " maaf, tadi tidak perasan dengan mesej-mesej mu." jadi tadi memang sudah Tuhan tetapkan untuk sendirian. dan semoga kali seterusnya hati aku jadi lebih kuat supaya dapat aku menangkis tahap yang sama sampainya hati orang-orang terhadapku.


**tadi semasa aku menulis nota ini, bekalan elektrik terputus. sebetulnya tadi menulis bercampur perasaan marah. hampir-hampir catatan gagal diselamatkan. jadi sekarang aku tukar penamatnya jadi lebih bahagia. sebagai tanda bersyukur. sakit hidup, kalau hendak dibandingkan, memang takkan pernah tamat, tapi fikir yang positif, nikmat mana lagi yang hendak kita dustakan? :)

No comments:

Post a Comment