Friday, November 22, 2013

Extended Version.

Extended Version.

pada 12hb Disember 2011 pukul 3.25 ptg
Kesunyian
Merenggut ketenangan
Memutuskan angan-angan;
Bahawa kita bisa hidup sendiri
Tanpa ada apa-apa
Tanpa ada siapa-siapa

Tetapi hati ini,
Masih belum mahu menyerah,
Masih belum mahu mengalah,
Kerana masih mampu berserah
Kerana tetap menginginkan pasrah

Aku DIUJI kerana Aku MAMPU
Aku HIDUP SEMATA-MATA UNTUK ALLAH.

Sungai Tangkas
11. 08. 2008






Matang: ini mungkin fiksyen.

Matang: ini mungkin fiksyen.

pada 30hb November 2009 pukul 7.46 ptg
'Maturity is a state of mind', itu kata orang putih. Kematangan adalah tahap pemikiran. Seringkali juga kematangan seseorang itu dinilai berdasarkan penampilan luaran padahal tindak-tanduk masih di peringkat anak-anak. Anak-anak, sifatnya memberontak, pemikirannya sempit, dunianya hanya berkitar pada sekelilingnya saja, tanpa mahu memberikan pengertian pada kondisi orang lain, mementingkan diri, selalu leka dengan yang sementara, dunia keseronokan. Itu pada sisi yang gelap, dan pada sisi yang cerah, dunia kanak-kanak lebih tulus dan mulus, suci.

Selamat tinggal dunia kanak-kanak yang hanya mahu bermain-main dan mementingkan diri bagiku. Walaupun aku tahu, setiap orang ada bahagian keanak-anakan masing-masing, yang akan kita bawa sampai mati. Di dalam diri kita, ada banyak suara, dan seringkali aku leka melayan suara anak-anak pada diriku. Kerana suara itu, jika tidak dilayan, bakal memakan bahagian yang lain. Terlalu menuntut perhatian. Tapi aku harus jaga agar tidak biarkan suara itu menguasai diri dan hidup harus dipimpin oleh sesuatu yang lebih baik, lebih sempurna, sepertimana seorang anak patut dipimpin oleh orang tuanya, dan suara kedewasaanku harus bisa menuntun rasa keanak-anakan dalam hidupku. Matlamat hidup seharusnya disandarkan pada sesuatu yang lebih besar, jika aku benar-benar mahu bertahan dalam perjuangan. Perjuangan merebut kasih sayang Allah, bukan mudah.

Suku abad pertama usiaku, sudah berlalu. Turun, naik, jatuh, angkat balik, berlari, melambung dan terlambung, menumpang dan merempat, tercicir dan dipapah, aku sudah lalu, dan aku pasti lalu semua itu lagi. Paling aku suka, Allah tidak pernah biar aku sendiri. Setiap kesusahan ada kesenangan. Selalunya, aku akan jadi orang yang pertama mentertawakan diri sendiri. Merenung kata seorang sahabat, BlackPitt, "Jatuh kali keenam, bangkitlah untuk kali ketujuh, dan seterusnya.." aku takkan putus asa. Pantang pabila ada orang bergaduh denganku menggunakan peribahasa, "Aku lebih dulu makan garam daripada kau," sesekali aku akan membalas balik, "garam yang kurasa lebih masin dari yang kau rasa, lebih banyak kuantitinya dan lebih kuat kesannya." Jangan paksa aku berubah sekelip mata, rasa dulu apa yang aku lalu, kalau kau mampu dan apa faedahnya pun kalau kita asyik memaksa pendapat kita ke atas orang lain? Pilih kebetulan atau kebenaran?

Tutup buku lama, buka buku baru. Padam semua titik hitam dalam kehidupan, nyah semua benci yang bersarang. Kita mampu, InsyaAllah, bilamana kita mahu. Terima kasih, kawan-kawan.

Tiap kali jatuh, jadikan kanak-kanak sebagai inspirasi; usaha bangkit lagi, kalau mahu belajar berjalan dan berlari, tanpa lelah. Aku dan anak buah ketiga.Sudah-sudahlah, menangguhkan kehidupan.
Tiap kali jatuh, jadikan kanak-kanak sebagai inspirasi; usaha bangkit lagi, kalau mahu belajar berjalan dan berlari, tanpa lelah. Aku dan anak buah ketiga.

kalau Tuhan sudah tetapkan untuk sendiri...an

8/27/11 1:50 AM
Malaysia Time
hari ini hari gaji pertama. iya, bulan kedua namun gaji pertama. sebab gaji bulan pertama dahulu tidak cukup pun untuk menampung wang pendahuluan ihsan daripada majikan. tolak bayaran untuk kemalangan melanggar kereta orang, tolak harga gelas mata yang aku tangguh-tangguh selama 3 bulan untuk aku gantikan, iya, dengan gelasmata pecah dua sebelah itu, aku pusing satu Malaysia; ke Sabah, Kelantan, Kuala Lumpur, Johor dan seluruh Kuching sekalipun aku pakai juga. Kalau semudah itu orang menyangka penampilan itu maruah, baiklah, maruah aku umpama rendah. Aku kira janji untuk bertemu dan merai teman lebih penting, bertemu dan berpisah kerana Allah. disindir dan dipersenda aku terima sahaja.

jadi gaji harus dihantar ke rumah dahulu. bayar diri sendiri dahulu. itu kata orang kaya-kaya. tapi siapa diri kita sendiri? hidup aku lama betul dalam defisit. aku tangguh lagi keputusan menjadi diri sendiri.aku faham juga dan sedar diri. bayar kepada yang bertanggungjawab menyumbang benih kelahiranku, selagi ada. teringat kembali saat-saat aku kebingungan memikirkan mungkinkah ada kesempatan untuk aku dahulu, saat-saat tersekat dalam pengajian dahulu, saat semua dana keluarga seolah-olah semuanya diuntukkan padaku, iya, termasuk duit hasil orang mati, tanpa silang tanya. jadi saat untuk membalas  semua tanpa persoalan juga. bukankah keterdesakan memang sedari awal sangat mahal harganya?

jadi hari ini juga ada janji. janji keluar dengan teman. memang salahku semudah itu cuba membatalkan. sungguh, bukan sebab bayaran. sekurang-kurangnya bukan hari ini hari aku sudah bersedia dengan sedikit kewangan. aku bikin hati orang panas bukan? aku paling jaga hati. bukanlah aku penyayang tetapi kenyataannya aku tidak bisa sakitkan hati orang lebih dari aku sakitkan hati sendiri, sebetulnya aku pentingkan diri sendiri. aku tidak mengerti apakah jurang antara jaga hati dan keikhlasan. jadi aku turun juga. selepas membayar diri sendiri, aku pergi, seorang. dan aku ini pemandu yang sangat kurang cemerlang. sudahkah kau membaca pernyataan bahawa hari-hari aku inilah orangnya yang dihon orang? dan pernah terpusing di bulatan dan kereta bertukar arah melawan arus? cuma kerana urusan dunia yang ditetapkan Tuhan untukku belum selesai, mungkin Tuhan masih memberi kesempatan.

orang kata, jangan emosi. buat selamba saja. aku sempat sampai. aku abaikan ayat-ayat rajuk yang kata tak payah datang sebab aku tidak ikhlas, yang kata tidak payah sebab mungkin sudah menyampah dan meluat dan hilang kepercayaan. aku hantar mesej, aku buat panggilan, iya, dengan kredit telefon yang bernilai rm10 masih berbaki kurang seringgit dalam tempoh 2 minggu, aku gagahkan jua, tapi tiada jawapan. waktu berbuka sudah hampir dan aku masih melilau keseorangan di tempat ramainya orang memilih untuk mula makan. pergiku ke pasaraya membeli setin air bergambar kartun. semacam hilang deria, terus kubuka tin itu dan kumasukkan penyedut, bersedia untuk berbuka. lupa untuk malu, beberapa pemuda kedengaran berbunyi ketawa mungkin memikirkan aku sudah pecah puasa, dengan gaya begitu, manakan tidak, berjalan ketara dengan tin minuman yang telah dibuka dan tersedia dengan penyedut di tangan.

aku masih cuba mencari tapi sudah bersedia untuk putus asa. mungkin benar katanya, hingga aku sendiri tidak pasti, ikhlaskah aku yang sebetulnya? air mata bergenang sudah, dan padan muka, berseorangan aku berbuka. jatuh titik-titik air mata, hampa. teringat sama bonda yang sering menyatakan kecewa anak-anaknya suka berbuka di luar demi kawan-kawan, teringat wajahnya yang ditinggalkan sengaja menyediakan santapan.

pasti semua pernah merasa, aku selalu benar. Kalau Tuhan sudah tetapkan untuk kau sendirian, walau di tengah lautan manusia, tetap kau keseorangan. Tuhan Maha Hebat, bukan? Sebaik-baik peneman. Usahalah walau apa cara sekalipun, kadang-kadang kau akan dipulaukan. Macam adakah kau fikir aku suka benar ditinggal berseorangan menghabiskan sisa-sisa pengajian dahulu? Dengan sindiran bahawa aku ini orang yang hidupnya tidak punya tumpuan, penuh permainan, sangat banyak wang dan masa untuk dihabiskan. Tahun lalu aku kerja berseorangan lalu pada awal tahun ini aku memilih untuk berteman dan meninggalkan pekerjaan itu, 6 bulan menjadi penuntut ilmu pelancongan. sesudah 6 bulan itu, lucunya aku kembali ke tempat yang sama, kembali untuk ditakdirkan kerja sendirian. Hampir merobohkan kembali tembok kegilaan dengan tabiat mengomel sendirian, tanpa peduli sama dunia, omongnya sama diri sendiri sampai kedengaran pada telinga orang-orang. berkali-kali lagi, ditertawakan tanpa pengertian. Tidak apalah. Biasa. putus asa dengan diri sendiri tidak mengapa, jangan putus asa sama rahmat Tuhan.

membawa diri aku, lalu aku menuju ke surau. di dalam kesukaran ada kesenangan. di dalam kesusahan, ada ketenangan. Aku mungkin sendiri begitu, tapi aku berteman begini, alhamdulillah, kalau Tuhan tentukan kau untuk merasa keramaian, siapa dapat menghalang? alhamdulillah, solat berjemaah, tanpa seorangpun jemaahnya aku kenal, di surau kecil itu yang seringnya kita masing-masing hanya ingin solat sendirian, mengejar waktu kononnya. seusai solat, bertemu sama sepupu dan kerabat yang kebetulan kerja berdekatan, lalu singgah aku ke kedai mereka, dan dijemput berbuka sama. sekali Tuhan hantarkan peneman, subhanallah. air mataku jatuh lagi, kali ini kerana kegembiraan. Tuhan sangat comel.

balik ke rumah, mendapat mesej, " maaf, tadi tidak perasan dengan mesej-mesej mu." jadi tadi memang sudah Tuhan tetapkan untuk sendirian. dan semoga kali seterusnya hati aku jadi lebih kuat supaya dapat aku menangkis tahap yang sama sampainya hati orang-orang terhadapku.


**tadi semasa aku menulis nota ini, bekalan elektrik terputus. sebetulnya tadi menulis bercampur perasaan marah. hampir-hampir catatan gagal diselamatkan. jadi sekarang aku tukar penamatnya jadi lebih bahagia. sebagai tanda bersyukur. sakit hidup, kalau hendak dibandingkan, memang takkan pernah tamat, tapi fikir yang positif, nikmat mana lagi yang hendak kita dustakan? :)